Haruman daripada
minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih
kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.
Dalam hati
memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak
wangi yang dipakai oleh wanita itu.
Hmm, jika saya, yang
juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita
itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh
untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.
Jika hal demikian
terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin
nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi
fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga
sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang
cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah
Al-A’raaf, ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada
tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah
serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka
akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk
berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan
tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka
tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai
seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka,
atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan
kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat
perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan
apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian
kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Terdapat beberapa
hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Wallahu’alam.
Harus
Seseorang wanita itu
dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya
ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan
memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa
menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang
wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya
agar dapat menyenangkan hati suaminya.
Sunat
Sunat bagi wanita
berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan
beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang
menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat
yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya.
Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan
tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga
disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama
Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang
terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak
wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu,
tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat
Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum
berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh
ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang
dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang
menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi
pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang
banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud,
Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda:
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke
masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan
dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu
Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan
bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid
dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w
pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang
memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu
Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa
meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang
asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu
majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat
Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis
di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian
ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di
rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Allah jualah yang
Maha Mengetahui. Wassalam.
No comments:
Post a Comment